RSS

Selamat Hari Ibu dan Ayah

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani...

Ibu.. Ayah..
Akak terbayangkan betapa ibu dan ayah tersenyum bahagia  di saat akak dilahirkan ke dunia,
Kelahiran puteri yang dinanti selepas lahirnya putera yang pertama.
Kalimah membesarkan Tuhan diperdengarkan di telinga,
Agar akak mengenal Sang Pencipta tatkala lahir ke dunia.
Betapa ibu dan ayah bersusah payah  mencari nama,
Dan akhirnya nama Syahirah diberikan kepada akak beriringan dengan doa
Akak menjadi wanita solehah yang masyhur di dunia dan akhirat di sisi Nya.
Lalu akak dibesarkan dengan didikan dan lingkungan kasih sayang ibu ayah..
Garangnya ayah mendidik ,agar akak taat pada agama
Agar akak tahu hormatkan orang tua, agar akak sentiasa menyayangi saudara
Nasihat ibu yang senantiasa bergema tanpa mengira masa,
Mengingatkan kembali akak yang sering terlupa, memberi semangat ketika akak berduka.
Kisah hidup ibu yang selalu ibu ceritakan, akan akak jadikan pedoman
Walapun cerita itu berulangkali ibu dendangkan.
Terima kasih ibu ayah kerana menghargai pabila akak cemerlang dalam pelajaran,
Kerana menyayangi akak seadanya walau akak  banyak kekurangan,
Dan terima kasih kerana mendoakan kebaikan yang berpanjangan.
Maafkan akak kerana buatkan ayah hilang kesabaran dan ibu selalu terkilan
Dengan rajuk pabila hasrat tak kesampaian, tak mahu mengalah dalam pertengkaran,
Dan nasihat-nasihat yang selalu sahaja akak abaikan.
Semakin akak dewasa, semakin akak memahami bahawa segalanya sungguh bererti.
Marah bukanlah kebencian, tapi itulah tandanya sayang yang tak berkesudahan.


p/s: Ya Allah, peliharalah kedua ibu bapaku kerana sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pemelihara. Sayangilah mereka kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Penyayang, dan sejahterakanlah mereka di dunia dan di akhirat dengan sifatMu yang Maha Sejahtera.
~ thankful for this unconditional love~

Have Faith

                              In the name of ALLAH, The Most Gracious The Most Merciful


Ujian~

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani.


" Mencintai tak semesti memiliki, Hanya ALLAH Pemilik cinta hakiki"

Kata-kata ini benar-benar menyentuh hati ini tatkala menangisi satu kehilangan. Tak kiralah sama ada kehilangan barang ataupun insan yang amat disayangi. Pernah seorang sahabat berkongsi tentang sifat sabar dan redha. Katanya, jika seseorang itu bersabar, hatinya menangis tapi dia masih lagi tersenyum tatkala ditimpa ujian. Manakala jika dia reda, hati dan wajahnya tetap akan tersenyum walau sehebat mana pun dugaan menimpanya kerana dia tahu hakikat kehidupan yang segalanya milik Allah. Dan Allah sendiri berfirman :

"Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, dan kelaparan, dan kekurangan harta, dan jiwa, dan buah-buahan; dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar" ( Al- Baqarah : 155)

Tanya kembali kembali kepada diri sama ada sabarkah kita, atau sudah sampaikah kita ke tahap reda?



P/s: Sedihnya apabila seorang demi seorang kakak yang aku sayangi tiada di sisi.