Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Oleh: Mohd Faizal Aziz
Sekali pandang, semut adalah sejenis makhluk kecil yang tidak memberikan apa-apa manfaat dalam kehidupan manusia. Namun begitu, makhluk kecil ini mendapat perhatian istimewa dalam agama islam sehinggakan di dalam kitab suci Al Quran sendiri ada suatu surah khas yang dinamakan semut iaitu Surah Al-Naml. Kehidupan semut juga agak unik. Bayangkan bagaimana beribu-ribu ekor semut di dalam koloni mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Pernahkah kita memerhatikan pergerakan semut sewaktu ia berjalan dan berjumpa semut lain. Semut-semut seakan-akan bercium atau bersentuhan antara satu sama lain. Seolah-olah mereka kenal antara satu dengan yang lain di dalam sebuah kumpulan semut yang berjumlah puluhan ribu pada satu-satu masa.
Ahli kimia dan biologi telah bergabung untuk merungkai misteri dan rahsia di sebalik keunikan serangga jenis semut ini yang tidak dipecahkan sejak berabad-abad lamanya. Saintis kimia dan biologi berusaha untuk menemukan sejenis sebatian kimia yang tersimpan di dalam jasad semut yang membolehkan mereka berinteraksi, kehidupan mereka yang tersusun, teratur, tekun dan juga berdisiplin dalam menjalankan kehidupan sebagai seekor semut di alam ini.
Saintis di Eropah dan Finland telah membuat kesimpulan awal bahawa sejenis semut yang dikenali sebagai Formica Exsecta memiliki sebatian kimia campuran alkena dan komposisi setiap sebatian kimia jenis alkena tersebut adalah unik dan berbeza antara satu dengan yang lain. Kajian awal tentang tingkah laku semut yang dijalankan menunjukkan bahawa, perubahan kecil yang dilakukan ke atas komposisi sebatian kimia yang dimiliki oleh semut akan memberikan reaksi dan tingkahlaku berbeza bagi setiap semut tersebut.
Menurut Stephen Martin dari Universiti Sheffield United Kingdom, mekanisme komunikasi dan interaksi antara beberapa koloni semut dalam kategori atau spesis yang berlainan adalah satu fenomena unik yang cuba dikaji oleh saintis. Kumpuan penyelidik yang diketuai oleh beliau memulakan penelitian dengan melihat tingkahlaku semut-semut dari satu koloni yang sama dengan meletakkan telur-telur mereka di dalam sarang koloni semut yang lain. Mereka ingin mengkaji mengapa situasi tersebut berlaku.
Selain itu, satu lagi fenomena yang cuba untuk difahami oleh saintis ialah tentang bagaimana semut-semut ini mampu mengenali ribuan semut lain di dalam sarang dan koloni mereka, namun akan mula bertindak agresif dan menyerang kumpulan semut yang datang dari koloni lain. Hipotesis awal menunjukkan sebatian kimia yang ada pada semut ini mempengaruhi setiap tindak tanduk semut.
Semut yang dipilih untuk kajian ini ialah jenis Formica. Execta yang merupakan spesis terbaik untuk mengkaji komposisi kimia yang dimiliki oleh koloni semut bagi memecahkan rahsia komunikasi serangga ini menurut Profesor Stephen Martin. Spesis F.Execta menghasilkan sebatian campuran kimia alkana dan alkena, dan untuk mengetahui rahsia ini semut merupakan serangga yang paling baik untuk tujuan tersebut.
Seorang lagi saintis kimia dari Universiti Keele, United Kingdom iaitu Profesor Falko Drijfthout menggunakan Gas Chromatography Mass Spectrometry untuk mempelajari profil alkena yang terhasil dari setiap koloni semut. Dalam kajian beliau, Drijthouft menemui dalam satu koloni, profil alkena hampir sama dengan semua semut yang lain yang menunjukkan bahawa mereka menggunakan hanya alkena dan bukan alkana untuk melihat koloni musuh yang cuba menyusup masuk ke dalam koloni mereka.
Salah satu kaedah ujikaji yang dijalankan ialah dengan mencelup semut yang diambil dari satu koloni ke dalam bahan kimia heksana iaitu sejenis pelarut universal untuk memecahkan komposisi bau berasaskan alkena yang sedia ada pada badan semut tersebut. Selepas dineutralkan menggunakan heksana, semut tadi kemudiannya direndam pula ke dalam alkena dan diletakkan semula ke dalam koloninya yang sama. Dari pemerhatian pengkaji, semut tadi kemudiannya terus diserang oleh semut-semut lain walaupun ia datang dari kumpulan atau koloni yang sama. Ujikaji lain pula dilakukan dengan menggunakan alkena-alkena jenis berlainan untuk koloni semut yang sama dan keputusan jelas menunjukkan sebatian kimia alkena yang berbeza akan membuatkan kumpulan semut ini tidak dapat mengenali ahli koloni mereka sesama sendiri.
Menurut Martin, penemuan awal kajian ini adalah sangat penting bagi kumpulan saintis dalam mempelajari biologi dan kimia koloni serangga yang telah mengkaji tentang keunikan kehidupan semut. Ia seolah-olah memberikan satu penanda atau kod-kod tertentu kepada semut dalam berkomunikasi dan interaksi sesama mereka. Penemuan sebatian kimia jenis alkena di dalam semut mungkin boleh diaplikasi dalam penciptaan teknologi terkini sistem pengecaman yang semakin hari semakin kompleks. Teknologi sistem pengecaman manusia umpamanya menjadi semakin penting apabila saban hari kita dikejutkan dengan berita-berita penjenayah yang gagal dikesan dengan teknologi yang sedia ada. Kemungkinan penyelidikan Profesor Stephen Martin dan Falko Drijfthout tentang komposisi kimia di dalam serangga semut dapat dimanfaatkan untuk tujuan tersebut. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku dalam dunia sains dan penyelidikan.
http://www.majalahsains.com
0 comments:
Post a Comment