Dalam entri lepas, saya ada masukkan cerita tentang Kelantan. Jadi,entri kali ini saya akan ceritakan tentang permusafiran saya ke sana. Ala-ala travelog gitu.
Sebenarnya rancangan untuk ke Kelantan dan bermalam di rumah Hakimah(sahabat) telah lama dirancang sebelum habis pengajian di UPM lagi. Memandangkan seringkali tiada masa yang sesuai, perancangan tersebut ditangguh sehinggalah saya habis pengajian dan pulang ke kampung dan seterusnya menyambung kursus di Melaka. Ummi Hakimah selalu bertanyakan tentang bila saya akan ke sana melalui Hakimah. Kemudian, apabila saya mendapat cuti selama seminggu, Hakimah menyarankan saya untuk ke Kelantan. Lalu, saya pun bersetuju dan ini merupakan kali ketiga saya ke Kelantan.
Perjalanan
Perjalanan saya ke Kelantan menaiki bas dari Batu Pahat, Johor ke Kota Bharu bermula jam 8 malam. Satu perkara yang tidak enak berlaku sebelum saya bertolak ialah saya kehilangan cermin mata, dan terpaksalah bermusafir dalam kekaburan akibat rabun.Di dalam bas saya duduk di sebelah mak cik yang ingin pulang ke Kelantan selepas berhari raya bersama anak. Saya kagum dengan dirinya yang gigih bermusafir walaupun usianya sudah pun dalam lingkungan 50-an. Menurutnya, dia memang suka berjalan melihat tempat orang dan tak mahu anak-anak susah untuk pulang ke kampung. Pada saya. mak cik ni memang 'cool'.
Perjalanan yang mengambil masa hampir 11 jam memang memenatkan. Sakit leher, bahu dan pinggang saya ini. Tapi satu yang saya suka tentang Kelantan ialah kabus pagi yang menenangkan apabila waktu Subuh mula beransur pergi dan langit mula cerah. Serius, saya tak pernah merasai kabus pagi yang sama seperti itu di tempat lain. Hakimah kerap menghubungi saya untuk mengetahui lokasi bas yang saya naiki. Namun, saya agak bermasalah untuk membaca papan tanda tanpa cermin mata, melainkan papan tanda yang bertulisan besar. Saya sampai di hentian bas Kota Bharu kira-kira jam 7 pagi dan diambil oleh Hakimah dan adiknya, Afifah menuju ke rumah mereka di Pengkalan Kubor.
Kabus pagi di Kelantan. Gambar beberapa tahun lepas. |
Keluarga Hakimah
Akhirnya, dapat juga bertemu dengan keluarga Hakimah yang terdiri daripada Pak Cik Ramly (ayah), Ummi, Hakimah (kak long), Afifah (mek ngah), Saifuddin (sepu),Hidayah (mek chik), Faizah (mek jah), Ridwan, dan Nabilatul Husna (adik). Rasa amat bertuah bertemu dengan mereka dan saya dilayan dengan amat baik. Yang agak kelakar ialah saya kurang memahami dialek Kelantan yang agak pekat terutama apabila Ummi dan adik berkata-kata. Kena gunakan khidmat Hakimah sebagai penterjemah. Maaf deh.
Kata orang, kita akan lebih kenal dengan sahabat kita dengan mengenali ahli keluarganya juga. Betul! Saya bertemu dengan insan yang telah membesarkan sahabat saya sehingga dewasanya itu bertemu dan bersahabat dengan saya. Dan saya banyak belajar tentang kehidupan daripada sahabat saya yang seorang ini. Boleh dikatakan saya terhutang budi dengan Pak Cik Ramly dan Ummi lebih-lebih lagi kerana telah mendidik Hakimah dengan baik. Pada saya, tidak mudah untuk mereka membesarkan 7 orang anak.Yalah, saya hanya mempunyai 4 orang adik beradik sahaja.
Keluarga Hakimah. |
Ummi ada menjalankan perniagaan menjual kuih-muih dan nasi berlauk di gerai tidak jauh dari rumahnya pada waktu pagi. Dapatlah saya merasai nasi berlauk yang takkan dapat di tempat saya. Memang sedap. Menurut Hakimah, jualan Ummi selalunya akan habis. Dengan berniaga Ummi punyai banyak kenalan, dan jika nak cari buah tangan untuk dibawa pulang bilang sahaja kepada Ummi. Ummi akan hubungi kenalannya yang menjual barang yang dikehendaki.
Terima kasih atas layanan ummi dan famili!
0 comments:
Post a Comment