Falsafah Bukan untuk Ditongsampahkan

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani...


                              Alhamdulillah pada 15 Jun lepas dapat menemani kakak tersayang,  Kak Wani Oki Setiana Dewi   ke Sidang Meja Bulat " Hala tuju Pendidikan Negara" anjuran PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia). Jam 7 petang itu, dia menghubungi saya untuk menemaninya ke program tersebut. Memandangkan saya berkelapangan dan tiada peperiksaan pada hari esoknya, saya bersetuju.


                             Dipendekkan cerita, kami pun bertolak ke Gombak kira-kira jam 8.30 malam dengan menunggang motorsikal ( ya, jangan tak percaya. ehem, saya ialah penunggang motorsikal yang berhemah ok). Perjalanan yang mencabar bagi saya kerana kami terpaksa meredah jerebu sepanjang perjalanan. Merah mata kami menahan pedih. Kami tiba di tempat program pada kira-kira jam 9.30 malam. Nasib baiklah kak Wani yang menunggang motorsikal, kalau tidak, saya pun tak pasti kami akan tiba ke situ pada jam berapa. Mungkin tiba setelah program tamat?


                            Setibanya kami di situ, kami disambut oleh ahli jawatankuasa program dengan ramahnya. Rupa-rupanya kak Wani adalah salah seorang perwakilan sidang tersebut yang akan membentang idea mewakili GAMIS ( Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia) kerana dia merupakan Timbalan SIGMA GAMIS. Seorang lagi perwakilan GAMIS ialah Akram Ikrami Taib Azzamuddin selaku Presiden GAMIS. ( Awat la kak Wani tak beritahu awal-awal, haisy). Di situ terdapat beberapa lagi perwakilan daripada gerakan mahasiwa Islam lain seperti HAKIM (Himpunan Keilmuan Islam), PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional), dan KARISMA. 


                           Persidangan berkisar tentang pembentangan kajian sistem pendidikan di Malaysia. Dan juga perbahasan tentang sistem pendidikan negara dari segi keberkesanan sistemnya, penilaian dan pengurusan serta kelompangan yang perlu diperbaiki. Di sini, penekanan tentang Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) amat dititik beratkan. Selain FPK terdapat lagi Falsafah Pendidikan Islam Kebangsaan (FPIK), Falsafah Perguruan dan falsafah-falsafah setiap subjek yang diajar. Fuh, banyak sungguh falsafah. Setiap perwakilan punyai kekuatan idea tersendiri mengenai isu ini. Antaranya ialah sistem yang terlalu berteraskan peperiksaan ( exam oriented), sistem yang sekular dan bersifat juz'i, tidak holistik, ketidak kecekapan pengurusan dan ilmu sebagai komoditi yang boleh diperdagangkan. Berada dalam dalam sidang meja bulat yang begitu ilmiah ini membuatkan saya yang merupakan pelajar sains terasa begitu kerdil. Maklumlah, terlalu lama dalam makmal..


                       Paling menarik ialah perkongsian daripada Cikgu Hafizi, ( lupa nama penuhnya) daripada PKPIM yang merupakan mantan Exco Pendidikan PKPIM. Beliau berkongsi tentang pengalaman beliau sebelum ini dalam mendepani isu-isu pendidikan seperti isu PPSMI, PTPTN, dan SAR ( Sekolah Agama Rakyat). Pada beliau, kita tak akan dapat merubah sistem pendidikan dengan hanya membahaskan sistem tersebut, tetapi apa yang kita dapat buat pada ketika ini dan di posisi kita sekarang. Contohnya, sebagai seorang guru. Bagaimana kita sebagai guru hendak melaksanakan tugas sebagai guru yang bukan sekadar mengajar sahaja? Beberapa poin penting yang beliau ingin tegaskan ialah kecelaruan sistem pendidikan, pelaburan pendidikan,tahap  penyelidikan  di Malaysia yang masih lemah, pengurusan pendidikan yang cacamarba, matinya idelisme guru, hilangnya nilai, dan kolaborasi komuniti dalam sistem pendidikan. Menurutnya lagi, terlalu banyak falsafah yang diwujudkan bagi memperlihatkan keelokan sistem tersebut. FPK lah, FPIK lah, dan macam-macam lagi. Namun akhirnya  falsafah tersebut hanya sebagai kosmetik tebal yang menyembunyikan kesan parut dan akhirnya ditongsampahkan. Ketika itu falsafah menjadi falsampah.. 


                     Secara keseluruhannya, kita sewajarnya meneliti semula apakah halatuju atau target pendidikan itu sendiri. Apakah matlamat ilmu itu? Tidak lain tidak bukan untuk memanusiakan manusia dan mengenal Allah, Pencipta kita.Firman Allah SWT dalam Al-Quran:
"Dan demikianlah perumpamaan Kami buat untuk manusia dan itu hanya orang-orang berilmu sahaja dapat mengerti". (Al-Ankabut:43)

Tiadalah guna jika ilmu yang diperoleh sedari peringkat awal pendidikan hinggalah peringkat tertinggi tidak diamalkan. Seolah-olah menjadi mesin yang tugasnya hanya menerima input dan mengeluarkan output yang sama setiap kalinya. ( Amat terasa kot)

                   Program tersebut selesai kira-kira jam 12 tengah malam. Sayangnya, resolusi sidang meja bulat ini tak dapat dilakukan kerana kekangan masa. Namun, akan ada lagi wacana bagi membincangkan resolusi perkara ini dan resolusi tersebut akan dibawa ke pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Insya Allah.


p/s :  Doa yang Rasulullah SAW selalu baca : Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada ilmu yang tak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tak pernah merasa cukup, dan doa yang tak dikabulkan.

                      

                             
NewerStories OlderStories Home

0 comments:

Post a Comment