Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk
menulis di sini setelah sekian lama. Tika ini saya berada di Batu Pahat, Johor
yang tercinta kerana sedang menjalani latihan industri. Dah masuk 2 minggu saya
berada di Makmal Pusat Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) bagi tujuan tersebut.
Perjalanan dari rumah ke tempat latihan adalah kira-kira 15 km dan mengambil
masa selama 30 minit untuk saya sampai sekiranya menunggang motorsikal. Memang
agak mencabar kerana setiap hari bekerja, saya perlu keluar pagi-pagi meredah
jelaga dan asap di Bandar Batu Pahat. Setiap kali jugalah mata akan terasa
pedih dimasuki habuk, dan kadang-kadang muka pun terasa pedih dek kerana
gerimis mengundang. ( lepas ni kena pakai krim muka Syahirah nampaknya).
Mujurlah ayah benarkan saya memandu kereta sekiranya hari hujan dengan syarat
kena menghantarnya ke pejabat terlebih dahulu.
Hari pertama melapor diri berjalan dengan baik,
dan dapat berkenalan dengan staf-staf di situ yang mesra sekali. Bertemu pula
dengan rakan dari UKM yang akan sama-sama menjalani latihan industri di SAJH
ini. Selepas itu, kami diberi tugas untuk menelaah fail-fail Department Standard
Operating Procedure (DSOP) dan Operating Manual (OP) iaitu fail-fail yang
mengandungi prosedur-prosedur analisis di makmal selama seminggu sebagai persediaan
untuk proficiency test(PT). apabila dah lulus PT barulah boleh buat analisis di
makmal. Maka, saya pun menelaah fail-fail tebal itu sampai kelat mata selama
beberapa hari ini. Namun, pada minggu itu juga saya dapat bersama dengan
Juruanalisa Air ke lapangan iaitu ke Empangan Bekuk untuk mengambil sampel air.
Hal ini kerana ada aduan pencemaran di sungai berdekatan empangan tersebut.
Saya turun ke lapangan pada hari itu dengan berbaju kurung dan but keselamatan,
memang terbaik!. Selain itu, dapat juga masuk ke makmal untuk
melihat pembantu makmal menjalankan pelbagai jenis analisa air.
Selepas beberapa
hari, barulah saya dan rakan saya berpeluang bertemu dengan penyelia kami, En
Zulkifli yang merupakan Ketua Jabatan Kualiti Air. En Zulkifli berkongsi cerita
tentang pengalaman dirinya dan banyak pesanan yang disampaikan kepada kami. Menurut
beliau, beliau pernah mengalami masalah
dalam kehidupannya dan kini dia telah bangkit. Dan beliau bangkit dengan
kembali kepada Pencipta. Beliau amat menekankan betapa kita perlu menjaga hati
kita, dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Saya amat terkesan apabila
beliau berpesan untuk kami mencari diri
kami sendiri sepanjang menjalani latihan di sini, kerana cabaran ketika sudah
berkerjaya amat besar serta tidak lupa untuk
menjaga diri dan maruah sebagai seorang
wanita.Satu kata-kata azimat yang dipegang oleh beliau adalah “ Sabar itu iman,
dengki itu buta dan hati tak pernah berbohong”. Hati yang bersih dan selalu
dekat denganNYA, insya Allah akan menunjukkan jalan yang betul.
Sepanjang 2 minggu ini, saya sering terfikir
begini rasanya apabila sudah bekerja, dan bagaimana ya nanti? Dan saya
tersedar, persoalan sebenar yang harus saya ke utarakan ialah bagaimana untuk
kita praktikkan segala ilmu yang kita belajar dan peroleh semasa pengajian
untuk bekerja nanti? Lebih penting, bagaimana persiapan kita dan apa ilmu kita ada untuk menghadapi akhirat kelak? Hmm..
0 comments:
Post a Comment